Pendidikan dan Teknologi Maklumat
Apabila mendengar ucapan pihak-pihak tertentu tentang kepentingan teknologi maklumat dalam bidang pendidikan, kadang- kadang saya rasa sesetengah pandangan itu berlebihan, atau didasarkan atas pendapat yang keliru. Saya tidak menafikan teknologi maklumat itu penting, tetapi saya berpandangan, teknologi maklumat tidaklah sepenting seperti yang diuar-uarkan. Bagi saya, yang patut ditekankan bukanlah penggunaan TM. Penggunaan komputer dalam kelas misalnya belum tentu cukup membantu. Hal ini kerana, guru sendiri harus berilmu. Saya yakin, jika guru mempunyai ilmu yang mencukupi, dan mempunyai cara pengajaran yang menarik, tanpa menggunakan TM sekalipun pembelajaran tetap akan berlangsung dengan baik. Malah, saya melihat galakan yang diikuti dengan pelbagai program dan peuntukan agar guru-guru memaksimumkan TM sewaktu pengajaran, boleh melunturkan potensi guru sebagai penyalur ilmu. Secara tidak langsung guru tidak lagi berusaha untuk menggali kemampuan dirinya, mengasah potensi semulajadinya sebagai guru. Mereka kini, khususnya yang mengikut sahaja tanpa berfikir kritis, akan mula bergantung kepada TM. Mereka tidak lagi melahirkan contoh_contoh yang bernas. Mereka menjadi individu pasif, dengan hanya mengklik dan memastikan para pelajar mendengar rakaman dan perisian yang dibekalkan.
No comments:
Post a Comment