Sunday, 13 November 2011

Kajian Teknologi Maklumat Dalam Pendidikan

PENGGUNAAN KOMPUTER DI KALANGAN GURU-GURU SEKOLAH MENENGAH DI DAERAH JOHOR, NEGERI SEMBILAN. SATU TINJAUAN.

 1.1 PENGENALAN
Komitmen untuk menjadikan semua sekolah di Malaysia sebagai sekolah bestari menjelang tahun 2010 memberikan satu gambaran tentang arus perubahan besar yang berlaku di dalam sistem pendidikan negara khususnya berhubung dengan penggunaan teknologi maklumat dalam pendidikan. Perkembangan ini sejajar dengan aspirasi negara untuk muncul sebagai sebuah negara maju menjelang tahun 2020 dengan memberikan penekanan kepada penguasaan teknologi maklumat di kalangan rakyat Malaysia. Selain penggunaan teknologi maklumat dalam aspek pengurusan dan pentadbiran pendidikan terutamanya di sekolah, gagasan sekolah bestari juga ini difokuskan kepada penggunaan teknologi maklumat dalam proses pengajaran dan pembelajaran .Penggunaan teknologi maklumat dalam pendidikan di Malaysia telah bermula dengan pengenalan program kelab komputer melalui kegiatan kokurikulum di sekolah-sekolah pada tahun-tahun 1980an. Mulai tahun 1995, Kementerian Pendidikan telah memperkenalkan program Komputer Dalam Pendidikan dengan memberi penekanan kepada empat mata pelajaran iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik. Guru-guru mata pelajaran berkenaan dilatih menggunakan komputer dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Kementerian Pendidikan juga telah mengumumkan pada tahun 1996 untuk menjadikan mata pelajaran Literasi Komputer sebagai salah satu mata pelajaran dalam pengajian di peringkat Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia.Kemantapan dan keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran dengan menggunakan teknologi maklumat bergantung kepada keupayaan dan kebolehan aplikasi teknologi maklumat yang ada pada guru-guru dan pelajar-pelajar yang terlibat. lsu ini memberi satu cabaran yang besar terhadap kadar penerimaan dan persiapan mental dan kompetensi dalam penggunaan teknologi maklumat di kalangan guru-guru secara amnya. Apakah mereka sudah bersedia untuk menukar peranan yang mereka jalankan selama ini kepada sebagai pemudahcara dengan menggunakan teknologi maklumat di hadapan pelajar-pelajar mereka. Bagaimanakah caranya mereka dapat memainkan peranan ini dengan berkesan dalam konteks pendidikan yang sebenarnya iaitu untuk membawa perubahan sikap dan pengetahuan ke arah merealisasikan matlamat sekolah bestari? Sistem pendidikan kita adalah dalam era anjakan paradigma ke arah globalisasi dan Koridor Raya Multimedia dan sudah tentu memerlukan banyak kajian dan penyelidikan.

 1.2 Masalahan Kajian

Usaha untuk memperkenalkan penggunaan komputer ke dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah membayangkan perubahan yang dramatik di kalangan guru-guru (ZulkifIi dan Raja Maznah, 1994). Faktor persediaan mental, pengetahuan dan kemahiran di kalangan anggota adalah penting ke arah sesuatu perubahan di dalam sesebuah organisasi . Di antara petunjuk-petunjuk kepada persediaan mental di kalangan anggota organisasi ialah mempunyai sikap yang positif terhadap agenda perubahan yang dicadangkan disamping memahami tujuan atau sebab-sebab di sebalik perubahan yang akan dilaksanakan. Sikap terhadap komputer adalah satu dari tiga faktor yang menyumbang kepada penerimaan guru-guru terhadap penggunaan komputer selain dari faktor ciri-ciri komputer dan dasar-dasar kritikal yang penting untuk penerimaan penggunaan komputer . Ia juga mempengaruhi motivasi seseorang untuk mempelajari sesuatu . Sikap yang positif adalah penting untuk mendorong seseorang bagi mempelajari apa sahaja (Zulkifli dan Raja Maznah, 1994).
         Dengan hanya membekalkan perkakasan dan perisisan semata-mata tidak akan menjamin integrasi teknologi maklumat ke dalam pendidikan secara berkesan tanpa mengambilkira faktor kecenderungan pelatih atau guru untuk menggunakan teknologi. Kay (1990) pula merumuskan bahawa sikap, kesedaran dan keupayaan aplikasi perisian merupakan cara terbaik untuk menjangka dan meramal komitmen terhadap penggunaan komputer. Tanpa persiapan dari aspek sikap, segala program perubahan yang dicadangkan akan menghadapi halangan yang paling besar untuk membentuk dan menggerakkan jentera utama perubahan iaitu sumber manusia ke arah menjayakan program perubahan di dalam sesebuah organisasi besar seperti Kementerian Pendidikan.

1.3 Kerangka Konsep Kajian

Keupayaan untuk meramal kadar kejayaan sesuatu program yang akan dilaksanakan bergantung kepada persiapan mental dan sikap mereka yang terlibat secara langsung dengan program tersebut. Sekaligus, sikap juga menggambarkan tahap dimana golongan yang terlibat dengan sesuatu program itu telah didorong ke arah pencapaian matlamat utama program tersebut. Tampa sikap yang dikehendaki atau sikap yang positif ke arah matlamat dan pelaksanaan program yang dirancangkan, sebahagian besar dari langkah permulaan perancangan program tersebut pada hakikatnya telah menghadapi rintangan yang amat besar walaupun terpaksa memperuntukkan perbelanjaan yang besar untuk mengatasinya.
        Berdasarkan beberapa teori mengenai sikap dan pembelajaran mengenai komputer, beberapa faktor iaitu pengetahuan, tingkahlaku, kognitif pengalaman atau amalan, kesukaan dan juga kebimbangan atau ketakutan telah dikenalpasti mempengaruhi di dalam pembentukan sikap seseorang terhadap sesuatu. Melalui tinjauan terhadap kajian-kajian khusus mengenai sikap terhadap komputer pula didapati bahawa beberapa faktor telah dikenalpasti mempengaruhi sikap guru-guru terhadap penggunaan komputer di dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Faktor-faktor yang telah dikenalpasti mempengaruhi sikap guru-guru terhadap penggunaan komputer adalah diasaskan kepada teori-teori sikap yang telah dikemukakan oleh Krech et al. (1962 dalam Francis 1993), Fishbein dan Ajzen (1975) dan Zimbardo dan Leippe (1991) iaitu komponen kognitif (sikap kognitif), komponen afektif (kebimbangan terhadap komputer, keyakinan terhadap komputer dan kesukaan kepada komputer) dan komponen tingkahlaku (kecekapan komputer, penggunaan komputer dan tingkahlaku). Di samping itu, beberapa pembolehubah demografik juga telah dikenalpasti mempunyai hubungan dengan pembentukan sikap terhadap komputer iaitu jantina (Shashaani, 1993; Francis, 1993; Noran et. al., 1996), latihan komputer (Zulkifli dan Raja Maznah, 1994), tahap kecekapan komputer (ZuIkifli dan Raja Maznah, 1994), tahap kelulusan akademik (Zulkifli dan Raja Maznah, 1994) dan pemilikan komputer (Harvey dan Wilson, 1985). Di samping itu, penyelidik telah menemui beberapa pembolehubah tambahan iaitu subjek yang diajar dan tugas di sekolah sesuai dengan tujuan dan objektif kajian ini.
Kerangka Konsep Kajian

1.4 TujuanKajian

Tujuan utama kajian ini adalah untuk mengenalpasti sikap guru-guru sekolah-sekolah menengah di Johol, Negeri Sembilan terhadap penggunaan komputer di dalam pengajaran dan pembelajaran. Bagi mencapai tujuan ini, kajian ini juga akan cuba menghuraikan beberapa objektif kajian seperti berikut:
1. Mengenalpasti sikap guru-guru terhadap penggunaan komputer di dalam proses pengajaran dan pembelajaran
2. Mengenalpasti perbezaan sikap terhadap penggunaan komputer di antara kumpulan mata pelajaran, jantina dan pengalaman mengajar
3. Mengenalpasti hubungan angkubah-angkubah demografi dengan sikap guru-guru terhadap penggunaan komputer dalam proses pengajaran dan pembelajaran

1.5 Objektif Kajian

Objektif kajian seperti berikut:
1. Mengenalpasti sikap guru-guru terhadap penggunaan komputer di dalam proses pengajaran dan pembelajaran
2. Mengenalpasti perbezaan sikap terhadap penggunaan komputer di antara kumpulan mata pelajaran, jantina dan pengalaman mengajar
3. Mengenalpasti hubungan angkubah-angkubah demografi dengan sikap guru-guru terhadap penggunaan komputer dalam proses pengajaran dan pembelajaran

1.6 Soalan Kajian

Untuk mencapai tujuan dan objektif-objektif kajian ini, beberapa persoalan kajian berikut dikemukakan:
1.      Apakah sikap guru-guru sekolah menengah di Johol  terhadap penggunaan komputer
2.      Adakah wujud perbezaan sikap yang signifikan terhadap penggunaan komputer di kalangan guru sekolah menengah di Johol  berdasarkan subjek yang diajar, jantina, pemilikan komputer dan pengalaman mengajar.
3.      Adakah wujud hubungan yang signifikan di antara faktor-faktor pembolehubah bebas dengan sikap terhadap komputer. Dalam konteks ini, faktor-faktor pembolehubah ialah kelulusan akademik, latihan ikhtisas, latihan komputer, tugas tambahan, tugas berkaitan komputer dan persepsi kecekapan penggunaan komputer telah dikenalpasti sebagai angkubah-angkubab yang digunakan di dalam kajian ini.

1.7 Kepentingan Kajian

Kajian mengenai sikap terhadap penggunaan komputer di kalangan guru-guru perlu dijalankan bagi mengenalpasti tahap penerimaan dan persediaan mereka dalam menggunakan teknologi maklumat dalam pendidikan serta mengenalpasti faktor-faktor yang mempengaruhi tahap penerimaan tersebut. Hasil kajian ini akan:
1. membolehkan Kementerian Pendidikan Malaysia khususnya  Pusat Perkembangan Kurikulum dan Bahagian Perkhidmatan Komputer merangka dasar dan pelan bertindak pelaksanaan program penggunaan komputer bagi semua mata pelajaran
2. dapat digunakan oleh Kementerian Pendidikan bagi merangka modul-modul latihan yang diperlukan untuk melaksanakan program penggunaan komputer  dan,
3. membolehkan pihak-pihak yang berkenaan menyediakan perisian komputer yang bersesuaian dengan pengajaran dan pembelajaran.

1.8  Definisi Istilah
a. Komputer
Berdasarkan Kamus Dewan (1986), komputer adalah merupakan alat atau sistem elektronik yang berupaya menyimpan rnaklumat yang banyak dan komplek serta membolehkan maklumat tersebut diperolehi, dianalisis pada bila-bila masa yang dikehendaki.Komputer dalam kajian ini ialah semua jenis komputer yang boleh digunakan di sekolah untuk menyimpan, mengeluarkan, menganalisis dan membantu guru-guru kanan bagi tujuan pengurusan di sekolah.
 b. Penggunaan komputer
Penggunaan komputer merujuk kepada penggunaan komputer dalam proses pengajaran dan pembelajaran melalui pelbagai aplikasi termasuk penggunaan CD-Rom, pengurusan panitia seperti sistem fail mesyuarat, rekod minit mesyuarat panitia, pengurusan peperiksaan dan markah pelajar dan lain-lain kegunaan komputer dalam menjalankan tugas di sekolah. Konsep penggunaan komputer ini merangkumi beberapa konsep dan amalan penggunaan komputer dalam pendidikan seperti Pengajaran Berasaskan Komputer, Pengajaran Beruruskan Komputer dan Pembelajaran Berbantukan Komputer.

c. Guru-guru
Guru-guru adalah merujuk kepada semua Pegawai-pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah dan Bukan Siswazah yang dilatih khusus secara ikhtisas oleh Kementerian Pendidikan Malaysia yang berkhidmat di sekolah-sekolah menengah di Johol, Negeri Sembilan.Sekolah-sekolah menengah di Johol, Negeri Sembilan adalah terdiri dari semua sekolah-sekolah menengah yang berada di dalam kawasan Johol, Negeri Sembilan.

1.9  Rumusan

Kesimpulannya, bab ini menghuraikan perkara-perkara yang menjadi latar belakang kajian ini. Perkara-perkara tersebut ialah berkaitan permasalahan, objektif, persoalan kajian serta kepentingan kajian. Semua aspek-aspek ini telah dihuraikan dengan jelas. Bab yang seterusnya akan menghuraikan tinjauan kajian-kajian yang lepas berkaitan tahap penggunaan komputer, masalah penggunaan komputer dan sikap guru terhadap penggunaan komputer.

2. KAJIAN LITERATUR

2.1 Pendahuluan

Bab ini meninjau lebih lanjut kajian literatur dan beberapa hasil kajian yang berkaitan dengan konsep teknologi pendidikan, beberapa teori sikap dan teori pembelajaran yang menjadi landasan penggunaan komputer dalam pendidikan, penggunaan komputer di dalam pendidikan, kajian sikap terhadap penggunaan komputer dan kerangka konsepsual kajian.
2.2 Konsep Teknologi Pendidikan

Penggunaan komputer dalam proses pengajaran dan pembelajaran mempunyai hubungan secara langsung dengan konsep penggunaan teknologi maklumat dalam pendidikan. Penggunaan teknologi seperti komputer memainkan peranan bagi meningkatkan keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran. Dalam konteks pendidikan dan latihan, peningkatan keberkesanan dapat diperhatikan dari manifestasi berikut (Ellington, Percival and Race, 1993):
1.  Peningkatan kualiti pembelajaran dan tahap penguasaan pelajar
2.  Mengurangkan waktu yang digunakan oleh pelajar untuk mencapai seuatu tujuan
3. Meningkatkan keberkesanan guru dari segi jumlah penuntut yang diajar tanpa mengurangkan kualiti pembelajaran
4.  Mengurangkan kos tanpa menjejaskan kualiti
Ellington, Percival dan Race (1993) pula memetik beberapa definisi teknologi pendidikan seperti berikut:
1. "Teknologi pendidikan adalah perkembangan, aplikasi dan penilaian terhadap sistem, teknik dan alat bantuan bagi meningkatkan proses pembelajaran manusia(National Council for Educational Technology, United Kingdom)
2. "Teknologi pendidikan adalah aplikasi bagi pengetahuan saintifik tentang pembelajaran dan keadaan pembelajaran bagi meningkatkan keberkesanan dan kecekapan pengajaran dan latihan. Dalam ketiadaan prinsip-prinsip saintifik yang telah diketahui, teknologi pendidikan mengamalkan teknik-teknik berdasarkan ujian pengalaman bagi meningkatkan suasana pembelajaran" (National Centre for Programmed Learning, United Kingdom)
3. "Teknologi pendidikan adalah satu cara yang sistematik bagi merekabentuk, melaksana dan menilai keseluruhan proses pengajaran dan pembelajaran dari segi objektif khusus berdasarkan penyelidikan dalam pembelajaran manusia dan komunikasi serta menggabungkan sumber manusia dan sumber bukan manusia ke arah pengajaran yang lebih berkesan" . (Commission on Instructional Technology, USA)
          Ketiga-tiga definisi tersebut memberi penekanan terhadap peranan utama teknologi pendidikan iaitu untuk meningkatkan keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran. Penilaian terhadap kecekapan dan keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran ini adalah berasaskan kepada bukti-bukti yang diperolehi dalam penyelidikan terhadap proses pembelajaran. Setiap definisi di atas cuba menghuraikan peranan teknologi pendidikan yang melibatkan pendekatan sistem berputar kepada merekabentuk situasi atau proses pengajaran dan pembelajaran serta penggunaan apa sahaja kaedah dan teknik yang sesuai bagi mencapai objektif yang diingini. Definisi-definisi berkenaan juga memberi penekanan kepada pengujian dan penilaian.
         Sebagai satu teknik pengajaran dan pembelajaran yang lebih berasaskan peranan individu, penggunaan komputer dalam pendidikan mempunyai beberapa kekuatan dan juga kelemahan yang tersendiri. Di antara kekuatan dan kebaikan pembelajaran berasaskan komputer ini ialah (Ellington, Percival dan Race. 1993):
1.  Ia dapat merangkumi objektif pembelajaran yang luas
2.  Penuntut dapat melakukan kerja mengikut tahap kebolehan masing-masing
3. Pendekatan interaktif dalam pembelajaran membolehkan pembelajaran dilakukan dengan melakukannya sendiri serta mendapat maklumbalas segera
4.  Membolehkan simulasi pengalaman pembelajaran secara terus dilakukan
Manakala kelemahan dalam penggunaan komputer dalam proses pengajaran dan pembelajaran pula ialah:
1. Memerlukan pelajar celik komputer, atau sekurang-kurangnya merasa senang   menggunakan papan kekunci
2.   Sukar mendapatkan bahan berasaskan komputer yang sesuai dan tersedia.
3. Usaha merekabentuk bahan pembelajaran berasaskan komputer memerlukan kemahiran yang tinggi.

2.3 Teori Pembelajaran Berasaskan Komputer
Sebagai satu elemen yang penting dalam proses pengajaran dan pembelajaran di dalam sistem pendidikan negara pada masa depan, penggunaan komputer dalam pendidikan haruslah disandarkan kepada beberapa teori asas pembelajaran. Di antara teori asas pembelajaran yang dikaitkan dengan penggunaan teknologi komputer dalam pembelajaran ialah teori behaviorisme, teori sistem dan teori kognitif.

2.4 Penggunaan Komputer Dalam Pendidikan 
Latarbelakang penggunaan komputer dalam pendidikan kembali kepada penyelidikan yang telah dilakukan terhadap mesin pengajaran terprogram (programmed instruction and teaching machine) (Simonson dan Thomson, 1990). Kaedah pengajaran terprogram adalah berasaskan teori behaviorisme dan beberapa kajian telah dilaksanakan terhadapnya bagi menentukan keberkesanannya. Beberapa dapatan kajian yang berkaitan mendapati bahawa pengajaran terprogram hanya dianggap sebagai salah satu alat bantuan mengajar guru dan tidak memberi kesan yang lebih baik terhadap pencapaian pelajar. Ia dianggap sebagai sesuatu yang membosankan dan terlalu simplistic.
          Penggunaan teknologi seperti komputer dalam proses pengajaran dan pembelajaran juga dapat memupuk nilai dan budaya kasih sayang di kalangan guru-guru dan pelajar disebalik kebimbangan yang mengatakan bahawa pembelajaran menggunakan komputer akan meningkatkan persaingan antara individu dan perasaan individualistik (Raja Maznah, 1995). Hakikat ini dapat direalisasikan kerana dengan berbantukan komputer di dalam proses pengajaran dan pembelajaran, guru mempunyai lebih banyak peluang untuk memberi tumpuan kepada memupuk dan membuna insan disamping sama-sama berinteraksi di dalam pengajaran dan pembelajaran.Fenomena ledakan maklumat yang sedang kita alami memerlukan para pelajar berfikir, belajar dan bertindak secara berbeza dari apa yang mereka lalui pada masa ini. Mereka bukan sahaja menerima dan mengumpul maklumat, tetapi juga harus mampu menganalisis segala maklumat yang diterima secara lebih kritis, kreatif dan membuat penilaian yang matang beradasarkan prinsip-prinsip nilai yang diperolehi dari pendidikan yang diterima melalui pendidikan secara bersepadu (Wan Mobd Zahid, 1993).         
           Secara umumnya, penggunaan komputer di sekolah dapat dikategorikan kepada tiga bahagian utama iaitu ; pembelajaran tentang komputer, penggunaan komputer untuk menyenggara dan memproses data dan penggunaan komputer untuk membantu proses pengajaran dan pembelajaran. Manakala penggunaan komputer untuk membantu di dalam proses pengajaran dan pembelajaran dilaksanakan dengan memberi penekanan kepada tiga aspek berikut iaitu: pengaturcaraan, proses pengajaran dan pembelajaran dan utiliti guru (Nik Azis, 1996). Melalui pengaturcaraan, pelajar didedahkan dengan beberapa bahasa pengaturcaraan yang biasa digunakan untuk menulis aturcara bagi menyelesaikan sesuatu masalah seperti LOGO, FOTRAN, COBOL dan PASCAL. Manakala aktiviti pengajaran dan pembelajaran pula dilaksanakan berpandukan program atau perisian yang dibangunkan oleh penulis perisian dikenali sebagai mod CAI(Computer-assisted Instruction) atau CAL (Computer-assisted Learning) dimana pelajar akan berinteraksi dengan perisian kursus menggunakan terminal. Jenis perisian kursus yang digunakan akan menentukan corak interaksi tersebut sama ada tutorial, latihtubi, penyampaian maklumat, permainan pendidikan, demonstrasi, pengujian, penilaian dan pengurusan pengajaran.Penggunaan komputer dalam bidang pendidikan di Malaysia adalah suatu yang masih baru dimana ia telah bermula pada tahun 1980an (Wai Kong, 1989; Zoraini, 1991). Pada peringkat awal, penggunaan komputer di negara ini lebih merupakan aktivit-iaktiviti Kelab Komputer di sekolah-sekolah. Hanya pada tahun 1986 sahaja Kementerian Pendidikan Malaysia telah melancarkan projek perintis celik komputer di 20 buah sekolah menengah seluruh negara (Pusat Perkembangan Kurikulum, 1986).Diantara objektif projek ini ialah untuk memberi pengenalan kepada komputer, pengaturcaraan dan aplikasi komputer untuk pemprosesan perkataan dan maklumat, pengkalan data dan hamparan elektronik. Bahagian Teknologi Pendidikan, Kementerian Pendidikan pula telah menjalankan kursus-kursus komputer kepada guru-guru yang terlibat dengan matlamat untuk membekalkan guru-guru yang terlatih bagi menguruskan kelab-kelab komputer di seluruh negara disamping dikehendaki mengajar literasi komputer mulai tahun 1986 (Kementerian Pendidikan Malaysia, 1986).Manakala konsep pengajaran dan pembelajaran berasaskan komputer (PPBK) pula dilaksanakan dengan tujuan untuk meningkatkan pencapaian pelajar melalui penggunaan komputer dalam proses pengajaran dan pembelajaran, mempelbagaikan teknik pengajaran dan pembelajaran bagi meningkatkan mutu pendidikan disamping mendedahkan para pelajar kepada penggunaan komputer .
           Manakala langkah pertama untuk melaksanakan penggunaan komputer secara besar-besaran di dalam bilik darjah telah dilancarkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia bersama Malaysian Institute of Microelectronic System (MIMOS) melalui projek pembangunan perisian (Zoraini et al., 1990). Projek perisian yang digelar Computer Integrated Learning System (ComIL) telah dijalankan secara percubaan di beberapa buah sekolah terpilih di seluruh negara mulai 1992 (Zulkifli dan Raja Maznah, 1994).

2.5 Kajian Mengenai Sikap Terhadap Komputer

Beberapa kajian telah dijalankan sejak dua dekad yang lalu terhadap sikap di kalangan guru-guru terhadap penggunaan komputer di dalam pendidikan berbanding dengan kumpulan-kumpulan lain seperti pelajar (Robertson et al., 1995), sikap terhadap komputer di kalangan guru-guru pelatih siswazah (Zulkifli dan Raja Maznah, 1994; Noran et al., 1996). Kajian-kajian yang dijalankan telah meninjau beberapa hubungan angkubah seperti perbezaan jantina ( Francis, 1993; Robertson et al., 1995; Noran et al. 1996) , pengalaman dengan komputer (Zulkifli dan Raja Maznah, 1994; Robertson et al., 1995; Noran et al., 1996) terhadap pembentukan sikap ini dan bagaimana perubahan sikap terhadap penggunaan teknologi maklumat berlaku.Kajian yang telah dijalankan oleh Dupagne dan Krendl (1992) mendapati perubahan sikap yang begitu ketara dan positif di kalangan guru-guru terhadap penggunaan mikrokomputer di dalam bilik kelas dan di dalam kurikulum. Manakala kajian yang dijalankan terhadap guru-guru pelatih oleh Downes (1993) pula mendapati bahawa pengalaman dengan komputer dan pengaruh model peranan guru yang menggunakan komputer di dalam bilik darjah membawa kepada sikap positif terhadap penggunaan komputer serta meningkatkan kemungkinan guru-guru berkenaan akan menggunakan komputer di dalam bilik darjah. Tahap pendedahan guru dengan kursus-kursus literasi komputer juga mempunyai kaitan yang signifikan terhadap pembentukan sikap guru-guru terhadap komputer (Robertson et al., 1995).
           Kajian yang telah dijalankan oleh Zulkifli dan Raja Maznah (1994) di kalangan guru-guru pelatih siswazah di Universiti Malaya yang mendapati bahawa hanya 12.1% dari sampel yang mengatakan bahawa mereka tidak mempunyai pengalaman dengan komputer, manakala selebihnya (87.9%) mengatakan bahawa mereka mempunyai pengalaman. Sebanyak 49% dari sampel yang mempunyai pengalaman telah memperolehinya semasa pengajian di peringkat ijazah pertama atau di bangku sekolah. Kajian tersebut seterusnya merumuskan bahawa guru-guru pelatih yang mempunyai pengalaman dalam komputer semasa di sekolah atau di universiti cenderung untuk lebih mahir dari mereka yang tidak berpengalaman. Kajian itu juga mendapati bahawa mereka yang tidak mempunyai pengalaman dengan komputer kebiasaannya mempunyai sikap yang negatif dan tahap kebimbangan yang tinggi terhadap komputer.
           Walau bagaimanapun, beberapa kajian mendapati bahawa kebimbangan terhadap komputer tidak mempunyai hubungan dengan sikap terhadap komputer ( Zulkifli danRaja Maznah, 1994). Begitu juga dengan tahap kebimbangan didapati tidak ada kaitan dengan pengalaman dengan komputer (Rosen et al., 1987). Sebaliknya, kajian yang telah dijalankan oleh lgbaria dan Chakrabarti (1990) merumuskan bahawa pengalaman dengan komputer lebih memberi kesan kepada sikap terhadap komputer berbanding dengan kebimbangan terhadap komputer. Walau bagaimanapun, dapatan-dapatan kajian oleb Noran et al. (1996) mengenai kebimbangan terhadap komputer di kalangan guru-guru pelatih di Pusat Pengajian Pendidikan, Universiti Pertanian Malaysia itu mendapati bahawa guru pelatih lelaki menunjukkan kadar kebimbangan yang lebih rendah berbanding dengan guru pelatih perempuan. Begitu juga dengan peluang menggunakan komputer dimana kajian-kajian mendapati bahawa pelajar lelaki lebih berpeluang untuk menggunakan komputer daripada pelajar perempuan. Sekaligus, perkara ini boleh dikaitkan dengan faktor pengalaman menggunakan komputer sebagai penyumbang kepada sikap positif terhadap komputer (Robertson et al., 1995).
2.6 Rumusan 
Kajian literatur ini telah menghuraikan konsep teknologi pendidikan yang berkait secara langsung dengan penggunaan komputer di dalam pendidikan. Kajian ini juga telah meninjau beberapa teori sikap dan teori pembelajaran asas yang menjadi latar belakang kepada penggunaan media di dalam pendidikan khususnya penggunaan komputer selain dari menyorot perkembangan penggunaan komputer di dalam pendidikan secara global dan di Malaysia. Seterusnya, beberapa kajian berkaitan dengan sikap terhadap komputer telah dilihat secara analitikal bagi mengesan beberapa faktor pembolehubah yang berkaitan dengan kajian mengenai sikap terhadap komputer serta meninjau beberapa dapatan yang boleh dijadikan landasan perbincangan dan perbandingan dengan hasil dapatan yang diperolehi di dalam kajian ini.

 3. KAEDAH KAJIAN

 3.1 Pendahuluan

Bab ini menerangkan tentang kaedah penyelidikan yang dijalankan untuk mengumpulkan data dan maklumat bagi mencapai matlamat kajian. Dalam bab ini, terdapat penerangan tentang rekabentuk kajian, pemilihan populasi dan sampel, instrumen penyelidikan, kajian rintis, kaedah pengumpulan data dan cara menganalisis data.
3.2 Rekabentuk Kajian
Kajian yang dijalankan adalah merupakan kajian yang bersifat diskriptif dan menggunakan kaedah tinjauan. Kaedah soal selidik dipilih bagi mendapatkan data. Jacob dan Ary (1990) berpendapat bahawa kebaikan menggunakan soal selidik ini ialah ianya boleh melibatkan responden yang ramai, lebih luas dan menyeluruh. Johnson (1994) menyenaraikan tiga kekuatan kaedah ini. Pertama, dapat melibatkan responden yang ramai. Kedua, membolehkan penyelidik rnernbuat kajian hubungan dan perbandingan dengan hasil kajian kepada populasi yang yang lebih besar dan ketiga, dapat menghasilkan fakta dan maklumat yang boleh di "cross-tabulate" dalam pelbagai kaedah statistik bagi mempelbagaikan dapatan sesuatu kajian.
          Soal selidik ini dikendalikan dengan cara menghantar sendiri kepada semua guru di sekolah-sekolah menengah daerah Johol. Guru-guru sekolah tersebut diberi masa selama seminggu untuk menjawab semua soalan dalam soal selidik tersebut.

3.3 Sampel Kajian 
Terdapat empat buah sekolah menengah bantuan penuh kerajaan dl daerah Johol. Sampel kajian ini melibatkan semua guru sekolah menengah bantuan kerajaan di daerah ini.
Sampel kajian ini adalah keseluruhan populasi. Pengambilan keseluruhan persampelan ini memungkinkan dapatan kajian yang lebih menyeluruh kerana tiada masalah kesilapan persampelan.

 3.4 Lokasi Kajian 
Kajian ini dijalankan di sekolah-sekolah menengah daerah Johol. Terdapat empat buah sekolah-sekolah rnenengah yang terdapat di dalam  daerah Johol ini.

3.5 Cadangan Instrumen
Bagi tujuan mendapatkan data tentang sikap terhadap penggunaan komputer, satu set borang soalselidik telah digunakan di dalam kajian ini. Borang soal selidik ini dibahagikan kepada dua bahagian iaitu Bahagian A dan Bahagian B. Bahagian A digunakan bagi mengumpul data-data peribadi subjek seperti matapelajaran yang diajar, pengalaman mengajar, tahap dan sumber pendidikan, pendedahan terhadap komputer dan pemilikan komputer. Data-data yang diperolehi di dalam bahagian ini digunakan sebagai angkubah demografi. Manakala Bahagian B pula digunakan bagi mengumpul data tentang sikap terhadap komputer berasaskan instrumen yang telah dibangunkan oleh Jones dan Clarke (1994) dan sebahagian besar item dalam skala sikap ini telah diuji untuk tujuan kesahan dan kebolehpercayaan di dalam beberapa versi sebelumnya (Woodrow. 1991). Skala yang sama juga telah digunakan untuk mengukur sikap bagi beberapa kumpulan termasuk guru-guru dan pelajar (Robertson et al.. 1995).
          Kesemua penyataan tentang sikap terhadap komputer di dalam soalselidik ini dapat dilabelkan di dalam tujuh subskala iaitu "kebimbangan terhadap komputer" (computer anxiety), "keyakinan terhadap komputer" (computer confidence), 'penggunaan komputer' (computer use), "kecekapan komputer" (computer competence), "kesukaan kepada komputer" (computer liking), "tingkahlaku" (behavior) dan "sikap kognitif" (cognitive attitude). Soalselidik yang mengandungi Iima puluh tiga pernyataan tentang sikap terhadap komputer dalam bentuk skala Likert terdiri dari lima skala 1 hingga 5 dengan 1 menunjukkan "sangat tidak setuju" dan 5 menunjukkan "sangat setuju" terhadap penyataan dalam borang soalselidik. Bagi tujuan analisis data, nilai yang diperolehi dari penyataan yang dinyatakan secara negatif akan diterbalikkan (recode) bagi mengekalkan arah yang selari dengan skala yang memperolehi skor yang tinggi bagi sikap yang positif dan skor yang rendah menunjukkan sikap yang negatif.

No comments:

Post a Comment